T5 : PEMBINAAN NEGARA BANGSA KE ARAH KEMUNCULAN NEGARA MALAYSIA BERDAULAT

11.1 Kesedaran tentang pembinaan negara


  1. Latar belakang konsep negara dan bangsa

    1. Pembinaan negara bangsa
      - Kerajaan Itali dan Jerman
    2. Ciri-ciri negara dan bangsa
      - Bangsa
      -Negara
      -Kerajaan
      -Perlembagaan
  2. Kesultanan Melayu Melaka Ciri-ciri negara dan bangsa
  3. Warisan negeri-negeri Melayu
    1. Johor Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor
    2. Terengganu
      -Ittqan-ilmuluk bi-ta’dil il-suluk
    3. Kelantan
      -Sistem Jemaah Menteri
    4. Negeri Sembilan
      -Prinsip demikrasi
      -Konsep persekutuan

  4. Malayan Union 1946 dan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

    1. Malayan Union
      -Kandungan perlembagaan
      -Penentangan terhadap Malayan Union
    2. Persekutuan Tanah Melayu 1948
      -Usaha ke arah pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948.
      -Kandungan perlembagaan.

  5. Kemunculan negara yang berdaulat 31 Ogos 1957
    1. Sistem ahli
    2. Pakatan Murni
    3. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957
    4. Pengenalan politik di Sabah dan Sarawak

  6. Pembentukan Malaysia 16 Sept. 1963
    1. Idea pembentukan Malaysia
    2. Reaksi terhadap pembentukan Malaysia
      - Dalam negara
      - Negara-negara luar
    3. Perjanjian Malaysia 1963



11.2 Sistem pemerintahan dan pentadbiran negara selepas merdeka

  1. Ciri-ciri Demokrasi Berpalimen
    1. Perlembagaan
    2. Raja Berperlembagaan
    3. Badan pemerintah
    4. Pilihanraya
    5. Parti politik

  2. Kerajaan Persekutuan
    1. Kerajaan Pusat
    2. Kerajaan Negeri

  3. Lambang-lambang negara
    1. Jata negara
    2. Bendera Kebangsaan
    3. Lagu Kebangsaan



11.3 Pembangunan dan perpaduan untuk kesejahteraan

  1. Pembangunan Ekonomi
    1. Rancangan Lima Tahun
      - Rancangan Malaya Pertama
      - Rancangan Malaya Kedua
      - Rancangan Malaysia Pertama
      - Rancangan Malaysia Kedua
      - Rancangan Malaysia Ketiga
      - Rancangan Malaysia Keempat
      - Rancangan Malaysia Kelima

    2. Dasar-dasar Pembangunan Ekonomi Negara
      - Dasar Pertanian Negara
      - Dasar Penswastaan
      - Dasar pensyarikatan
      - Dasar Hala Cara Baru
      - Dasar Peningkatan Daya Pengeluaran Negara
      - Dasar Kependudukan


  2. Pembangunan dan perpaduan bangsa

    1. Rukun Negara
    2. Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
    3. Akta Bahasa Kebangsaan
    4. Dasar Kebudayaan Negara
    5. Sukan untuk perpaduan



11.4 Malaysia ke arah negara maju

  1. Wawasan 2020
    1. Idea dan konsep
    2. Sembilan cabaran utama
Topics: sejarah, spm
Malayan Union

Pada bulan Oktober 1945, pihak British mengumumkan satu langkah bagi menamatkan cara pemerintahan secara tidak langsungnya dengan menyatukan kesemua negeri menjadi Kesatuan Malaya di bawah seorang Gabenor yang mempunyai kuasa eksekutif. Ia juga telah mencadangkan untuk memperkenalkan kewarganegaraan Malaya yang akan memberi hak sama rata kepada mereka yang mengakui Malaya sebagai tanah airnya.

Walaupun Pulau Pinang dan Melaka merupakan sebahagian daripada cadangan Kesatuan Malaya, ia tetap akan menjadi Jajahan British. Singapura juga akan menjadi jajahan yang berasingan. Kesatuan Malaya dan Singapura akan mempunyai Gabenor, Majlis Eksekutif dan Perundangan mereka sendiri.
Di bawah Kesatuan Malaya, Raja-raja Melayu akan menjadi Presiden Majlis Penasihat Melayu di negeri masing-masing, yang bertanggungjawab terhadap hal-hal keagamaan sahaja. Raja-raja Melayu dikehendaki menandatangani perjanjian baru yang akan memberikan kerajaan British kekuasaan mutlak di negeri mereka. Perlembagaan yang dicadangkan ini merupakan satu perubahan yang menyeluruh dalam dasar kerajaan British. Selama ini, Negeri-negeri Melayu tidak pernah menjadi wilayah British secara mutlak dan hanya merupakan negeri-negeri yang dilindungi British.

Pada bulan Oktober 1945, Sir Harold MacMicheal, wakil khas kerajaan British tiba di Kuala Lumpur bagi membincangkan perjanjian baru dengan Raja Negeri-negeri Melayu. Walaupun membantah, pihak Raja telah menandatangani perjanjian tersebut dan melepaskan hak kedaulatan dan kekuasaan mereka kepada Kerajaan British. Parti-parti politik dan persatuan-persatuan ditubuhkan di seluruh negara dengan tujuan menentang cadangan Kesatuan Malaya yang akan berkuatkuasa pada 1 April 1946 di mana sebuah pentadbiran kerajaan awam akan ditubuhkan.

Pada 1 March 1946 wakil daripada 41 persatuan dan pertubuhan Melayu telah membentuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malays National Organization-UMNO). Dato' Onn Jaafar telah dilantik sebagai Presiden yang pertama dan orang Melayu pada waktu itu buat pertama kalinya, menjadi lebih bersatu apabila memperjuangkan satu hala tuju yang dikongsi bersama. UMNO menjadi peneraju bagi penentangan orang Melayu terhadap Kesatuan Malaya. Perpaduan orang Melayu telah menjadi satu kuasa baru yang dihadapi oleh pihak British dan juga masyarakat Cina. UMNO seterusnya meluluskan satu resolusi yang mengisytiharkan bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh para Raja tidak lagi sah dan batal. Pada 31 Mac 1945, Pentadbiran Ketenteraan British dibubarkan secara rasminya.

Pada 1 April 1946, Kesatuan Malaya diwujudkan dan Sir Edward Gent telah dilantik sebagai Gabenor Kesatuan Malaya di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, UMNO telah menuntut agar Kesatuan Malaya dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu yang dicadangkan ini terdiri daripada sembilan buah Negeri-negeri Melayu dan dua buah negeri jajahan British. Ia juga mencadangkan agar seorang Pesuruhjaya Tinggi dan bukannya seorang Gabenor, dilantik sebagai wakil Kerajaan British.
Cadangan tersebut juga menetapkan bahawa selain daripada orang Melayu, hanya generasi kedua orang Cina, India dan lain-lain bangsa yang berhak mendapat taraf kewarganegaraan persekutuan. Justeru, Kesatuan Malaya telah dibubarkan secara rasmi pada 31 Januari 1948.

source :http://sejarahmalaysia.pnm.my/
Malayan Union

Pengenalan
Kekalahan British di Tanah Melayu atas tangan Jepun dalam tempoh yang singkat menyedarkan British terhadap kelemahan pentadbiran mereka di Tanah Melayu sebelum perang. Akibat pada Julai 1943, Malayan Planning Unit (MPU) telah ditubuhkan di London untuk merangka perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu selepas tamat perang nanti. Pada 31 Mei 1944, kabinet perang telah meluluskan syor penyatuan politik Tanah Melayu yang dikemukakan oleh MPU. Pada 10 Oktober 1945, Setiauaha Pejabat Tanah Jajahan British, George Hall, telah mengumumkan parlimen mengenai penyatuan politik Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malayan Union (MU). Pada 11 Oktober 1945, Harold MacMichael dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan Sultan-sultan bagi mempersetujui penubuhan MU. Beliau melaksanakan tugasnya dari 18 Oktober hingga 21 Disember 1945. Parlimen British telah mengeluarkan “kertas putih” yang mengandungi cadangan-cadangan MU.

Cadangan-cadangan MU
Cadangan Perlembagaan MU mengandungi 2 fasal utama, iaitu yang berkaitan dengan pentadbiran dan kerakyatan.

  1. Pentadbiran
    1. Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan), Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu) dan 2 buah Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) digabungkan sebagai satu unit politik yang dikenali sebagai MU.
    2. Singapura diasingkan dari MU kerana jumlah penduduk Cinanya yang ramai, kedudukan yang strategik dan taraf pelabuhan bebas. Singapura menjadi wilayah yang berasingan dan ditadbir oleh seorang Gabenor.
    3. Kedudukan Sultan-sultan dikekalkan tetapi kekuasaan serta kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran. Kuasa Sultan hanya tertumpu dalam hal ehwal agama Islam dan adat resam Melayu di mana mereka dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Melayu negeri masing-masing.
    4. Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan sebagai badan yang menguruskan hal-ehwal tempatan tetapi diletakkan di bawah kawalan langsung kerajaan pusat.
    5. MU akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British dengan pemusatan pentadbiran yang diketuai oleh Gabenor di Kuala Lumpur.
    6. Gabenor akan menjalankan pentadbiran dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan Pusat. Selain itu, Majlis Penasihat juga ditubuhkan.
    7. Seorang Gabenor Jeneral dilantik untuk mengawasi pentadbiran MU, Singapura dan wilayah Borneo.
  2. Kerakyatan
    Perlembagaan MU memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Syarat kerakyatan:
    1. Lahir di Tanah Melayu atau Singapura.
    2. Tinggal di Tanah Melayu selama 10 tahun daripada tempoh 15 tahun yang terdahulu sebelum 15 Februari 1942.
    3. Lahir di luar Tanah Melayu tetapi ibu atau bapa atau kedua-duanya warganegara MU.
    4. Mereka yang tidka layak mengikut syarat atas boleh memohon menjadi warganegara selepas tinggal di Tanah Melayu selama 5 tahun.


Sebab penubuhan MU

  1. Mewujudkan keseragaman dan kecekapan
    MU dilaksanakan supaya dapat mewujudkan keseragaman atau kecekapan dalam pentadbiran di seluruh Tanah Melayu. Sebelum perang, terdapat 3 bentuk pentadbiran yang tidak seragam, iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. James V. Allen dalam bukunya “The Malayan Union” menegaskan bahawa sistem pentadbiran tersebut bukan sahaja janggal tetapi mahal. Sistem pentadbiran sebelum perang perlu dihapuskan kerana ianya mempunyai banyak kelemahan. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya bukan sahaja dapat mewujudkan keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran, tetapi juga menjimatkan belanja pentadbiran.
  2. Melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu
    Penubuhan MU bertujuan untuk melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu terutamanya di kalangan orang-orang Cina dan India. Taat setia orang Cina dan India masih lagi ke negara asal mereka. Diharapkan dengan pemberian kerakyatan yang longgar, orang Cina dan India akan menumpukan taat setia kepada Tanah Melayu apabila mereka menjadi warganegara MU.
  3. Mengimbangi perkembangan ekonomi
    MU juga bertujuan untuk mengimbangi perkembangan ekonomi di seluruh Tanah Melayu. Sebelum perang, perkembangan ekonomi antara negeri tidak seimbang. Secara umunya, Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu lebih maju daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya akan mengimbangi perkembangan ekonomi di seluruh Tanah Melayu.
  4. Persiapan ke arah berkerajaan sendiri
    Mengikut British, MU merupakan persiapan Tanah Melayu menuju ke arah berkerajaan sendiri. Sebelum hasrat ini tercapai pentadbiran yang stabil perlu diwujudkan. Selain itu, kesedaran nasional perlu ditanam di kalangan penduduk seluruh Tanah Melayu.
  5. Meneruskan usaha British
    MU juga dilaksanakan bagi meneruskan usaha British untuk menggabungkan semua negeri di Tanah Melayu sebagai satu unit politik seperti yang dijalankan sebelum Perang Dunia Kedua. Buktinya: desentralisasi dilaksanakan dengan tujuan mempengaruhi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu menyertai persekutuan.
  6. Meneruskan penguasaan politik dan ekonomi
    Penubuhan MU akan membolehkan British meneruskan penguasaannya ke atas politik dan ekonomi Tanah Melayu kerana Malayan Union akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British.
  7. Membalas dendam
    MU juga dilaksanakan dengan tujuan untuk membalas dendam terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun. James V. Allen dalam bukunya “The Malayan Union” menegaskan sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti pegawai British bersikap anti-Melayu kerana mereka kecewa dengan tindakan orang Melayu yang bekerjasama dengan Jepun. Akibatnya, perlembagaan MU amat merugikan orang Melayu, terutamanya yang berkaitan dengan hak keistimewaan dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan.
  8. Mengenang jasa
    James V. Allen juga mendakwa penubuhan MU bertujuan mengenang jasa orang Cina yang telah bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. Majoriti orang Cina menjadi anggota Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) dan bersama-sama British dalam usaha mengusir Jepun dari Tanah Melayu. Akibatnya, perlembagaan MU dirangka sebegitu rupa yang menguntungkan orang Cina yang berkaitan dengan kerakyatan.
  9. Menghalang usaha ke arah kemerdekaan
    MU dilaksanakan bagi menghalang usaha ke arah kemerdekaan yang diperjuangkan oleh penduduk Tanah Melayu, terutamanya orang Melayu. Sejak pendudukan Jepun, orang Melayu telah berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan. Usaha mereka akan terhalang kerana MU akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British.
  10. Menyusun strategi pertahanan
    Penubuhan MU bertujuan memudahkan British menyusun strategi pertahanan. Sebelum Perang Dunia Kedua, British mendapati sukar untuk menyusun strategi pertahanan Tanah Melayu kerana bukan semua negeri ditadbir secara langsung oleh British. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya akan memudahkan British menyusun strategi pertahanan yang berkesan.


Penentangan MU oleh orang Melayu
Pengenalan dan penubuhan MU telah menimbulkan penentangan hebat dari orang Melayu. Sebabnya:
  1. Cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan Sultan-sultan
    Orang Melayu tidak bersetuju dengan cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan Sultan bagi mempersetujui penubuhan MU. Semasa diminta menandatangani persetujuan tersebut, Sultan-sultan tidak diberitahu cadangan-cadangan yang terkandung dan perlembagaan MU. Sultan-sultan juga tidak diberi masa cukup untuk meneliti kebaikan dan keburukan MU. Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan berbincang dengan pembesar atau Majlis Mesyuarat Negeri sebelum menandatangani persetujuan penubuhan MU. Ugutan Harold MacMichael telah menambahkan kemarahan orang Melayu. Sekiranya mana-mana Sultan enggan menandatangani persetujuan penubuhan MU, Sultan tersebut akan dianggap pro-Jepun dan disingkirkan dari takhta. Contoh yang jelas ialah Sultan Badlishah yang diberi kata dua sama ada menandatangani persetujuan penubuhan MU atau turun dari takhta.
  2. Kekuasaan dan kewibawaan Sultan
    Penubuhan MU akan menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan Sultan. Walaupun kedudukan Sultan dikekalkan, tetapi kekuasaan dan kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa pentadbiran. Kuasa Sultan hanya tertumpu dalam hal-ehwal Islam dan adat resam Melayu. Malah kuasa Sultan dalam hal-ehwal Islam juga terjejas apabila British mencadangkan penubuhan Majlis Mesyuarat Agama yang dipengerusikan oleh Gabenor. Sultan-sultan dianggap sebagai pelindung orang Melayu. Kemerosotan kuasa Sultan bererti kehilangan kuasa orang Melayu.
  3. Hak istimewa
    Penubuhan MU akan menghapuskan hak-hak istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu sebagai bumiputera Tanah Melayu kerana perlembagaan MU memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Orang Melayu tidak mahu hak istimewa dinikmati oleh orang Cina dan India yang dianggap pendatang yang menumpang di Tanah Melayu. Penghapusan hak istimewa menyebabkan orang Melayu bimbang penguasaan ekonomi oleh orang Cina akan bertambah besar dan ini akan meluaskan jurang ekonomi antara orang Melayu dengan Cina.
  4. Hak kerakyatan
    Orang Melayu tidak bersetuju dengan syarat kerakyatan yang longgar mengikut prinsip jus soli. Orang Melayu tidak mahu orang Cina dan India diberi syarat kerakyatan yang longgar kerana merek masih tidak yakin dengan taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah Melayu. Pemberian taraf kerakyatan yang longgar akan menyebabkan ramai orang Cina dan India menjadi warganegara Tanah Melayu. Orang Melayu bimbang orang Cina yang sudahpun menguasai ekonomi akan menguasai politik apabila bilangan mereka melebihi orang Melayu. Kebimbangan mereka bertambah kerana pada tahun 1947, jumlah Melayu hanya 49.46% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu.
  5. Balas dendam
    Orang Melayu juga menentang MU kerana mereka menyedari perlembagaan MU merupakan balas dendam British terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun. James V. Allen dalam bukunya “The Malayan Union” mendakwa sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti pegawai British bersikap anti Melayu kerana kecewa dengan tindakan orang Melayu bekerjasama dengan Jepun. Akibatnya, perlembagaan MU amat merugikan orang Melayu, terutamanya yang berkaitan dengan hak istimewa dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan.
  6. Masa cemas
    MU dilaksanakan pada masa cemas dalam hubungan antara orang Melayu dan Cina akibat pemerintahan Jepun. Oleh itu, orang Melayu mendakwa perkembangan ini dilaksanakan dalam suasana anti Melayu dan pro Cina kerana MU merugikan orang Melayu dan menguntungkan orang Cina.
  7. Orang Melayu tidak terlibat
    Orang Melayu tidak terlibat dalam merangka perlembagaan MU. Perlembagaan itu dirancang oleh Pegawai British dalam MPU di London. Pendapat orang Melayu langsung tidak diminta oleh British semasa mereka merangka perlembagaan tersebut.


Bentuk penentangan
  1. Akhbar
    Akhbar-akhbar telah memainkan peranan penting dalam membangkitkan penentangan orang Melayu terhadap MU. Akhbar-akhbar telah mendedahkan keburukan dan kerugian yang akan dialami oleh orang Melayu jika MU dilaksanakan. Orang Melayu telah diseru supaya bersatu dalam usaha menentang MU. Orang Melayu juga diseru supaya memulihkan pertubuhan yang telah wujud dan menubuhkan pertubuhan baru. Pertubuhan-pertubuhan ini perlu digabungkan bagi menguatkan penentangan orang Melayu terhadap MU. Berita tentang penentangan orang Melayu dimuatkan dalam akhbar untuk pengetahuan orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Di antara akhbar-akhbar tersebut ialah Utusan Melayu, Warta Negara, Majlis dan Pelita Malaya.
  2. Kerjasama
    Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah bersatu dan bekerjasama dalam usaha menentang MU. Mereka telah menulis surat kepada Raja British dan bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu memohon sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Mereka juga mendesak Kerajaan British dan Pejabat Tanah Jajahan membatalkan rancangan penubuhan MU dan merangka perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu khususnya yang dapat melindungi kepentingan orang Melayu. Bekas pegawai British tersebut telah menulis dalam akhbar di Britain, terutamanya akhbar Times untuk menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Antara bekas pegawai British tersebut ialah Frank Swettenham, Authur Richard, Cecil Clementi, Rolland Braddle dan Winstreadt. Orang-orang Melayu telah mengadakan perarakan dan perhimpunan di semua ibu negeri dan di bandar-bandar lain di Tanah Melayu untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap MU. Sebagai contoh: pada 15 Disember 1945, 10 ribu orang telah berkumpul di hadapan istana di Kota Bahru semasa Harold MacMichael menemui Sultan untuk mendapatkan tandatangan. Pada 25 Januari 1946, hampir 5000 orang telah mengadakan perhimpunan di Padang Mahkamah, Alor Setar. Pada 10 Februari 1946, perhimpunan yang dihadiri oleh 15 ribu orang diadakan di Johor Bahru. Satu perhimpunan raksasa yang dihadiri lebih 50 ribu orang diadakan di Kuala Kangsar pada 10 Mac 1946.
  3. Kongres
    Hasil dari daya usaha Kesatuan Melayu Selangor dan Dato’ Onn bin Jaafar, Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946. Kongres tersebut dihadiri 107 perwakilan dan 56 pemerhati dari 41 pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu. Kongres tersebut telah mendesak orang Melayu supaya bersatu dan berusaha untuk menentang MU. Kongres tersebut juga mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah pertubuhan Melayu yang akan dianggotai oleh orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Pada 29 dan 30 Mac 1946, Kongres Melayu Se-Malaya Kedua diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan pertubuhan Melayu tersebut. Akibatnya lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenali sebagai UMNO dalam Kongres Melayu Se-Malaya Ketiga di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Dato’ Onn bin Jaafar dilantik sebagai Presiden UMNO yang pertama.
  4. Pemulauan
    Walaupun mendapat tentangan orang Melayu, British tetap mahu melaksanakan MU. Akibatnya, Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah memulaukan upacara panubuhan MU dan perlantikan Edward Gent sebagai Gabenor pertama pada 1 April 1946.
  5. Perkabungan
    Selama seminggu sejak penubuhan MU, orang Melayu telah mengadakan perkabungan untuk menunjukkan betapa sedihnya mereka akibat penubuhan MU. Dalam perkabungan tersebut, lelaki Melayu memakai songkok yang dililit kain putih manakal wanita Melayu melilitkan kain putih di lengan baju. Perkabungan orang Melayu mendapat simpati orang asli. Diberitakan dalam akhbar Pelita Malaya, bertarikh 5 April 1946, orang-orang Sakai di Ulu Langat telah keluar ke Pekan dengan memakai bunga-bunga kabung.
  6. Ahli Melayu
    Ahli-ahli Melayu dalam Majlis Penasihat menarik diri untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap MU.


Kesimpulan
Akibat tentangan orang Melayu dan perakuan Edward Gent serta Malcolm MacDonald, maka British telah menghantar satu perwakilan ahli Parlimen British yang diketuai oleh L.D. Grammant dan D.R. William untuk meninjau kehendak orang Melayu. Hasil daripada laporan mereka, British bersetuju membubarkan MU dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Persekutuan Tanah Melayu menjadi lindungan British. Dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan dikekalkan. Selain itu, syarat kerakyatan telah diperketatkan.

source: sempoi_girl@hiphopmail.com
All times are GMT +8. The time now is 9:25 pm.